JellyPages.com

Ahad, 19 Januari 2014

HAWA

Bilik itu makin rancak dengan perbincangan. Isu akhowat berbaju merah jampu hangat di facebook. Keluarnya  ‘status’ syabab itu hanyalah teguran untuk para akhowat. Saya fikir sangat betul perbuatan syabab itu tetapi saya juga fikir kenapa akhowat ini selalu diperhatikan dan perlu terhad dalam membuat sesuatu.

Wanita selalu diburukkan dengan tingkah laku kerana wanita selalu perlu dijaga dengan keayuan dan pakaian yang menutup. Adakah wanita hanya diperkenalkan dengan perkara sebegini kecil? Ini adalah pengalaman saya dalam memangku sebagai Setiausaha Kerja Persatuan Hal Ehwal Wanita Islam di Mutah, Jordan bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Malaysia Mutah (PERMATA). Berada dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi . Selalu menerima masalah pelajar-pelajar akhowat yang memakai seluar Jeans di musim Salji. Memakai baju yang terang warnanya seperti tiada apalah bagi mereka-mereka ini. Jadi kerana itu saya berasa terpanggil untuk membuka ruang perbincangan lebih luas kepada wanita di luar sana dalam artikel saya ini.

Sirah Nabi Sallahualaihi wasalam dimana Nabi Muhammad telah mengangkat martabat wanita dari ditindas daripada Zaman Jahiliyah. Wanita tidak lagi menjadi hamba untuk melepaskan nafsu. Wanita diangkat untuk berada bersama-sama kaum lelaki untuk membantu perjuangan islam. Ummul Mukminin merupakan isteri-isteri nabi yang terdiri daripada Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Saidatina Saudah, Saidatina Hafsah, Saidatina Zainab, Saidatina Salama, Saidatina Zaynab, Saidatina juwairiyah, Saidatina Safiyya, Saidatina Ummu habibah, Saidatina Maymuna , Saidatina Maria Al-Qibtiyah dan beberapa lagi nama yang tidak disebut kerana adanya khilaf tentang bilangan isteri-isteri nabi. Mereka ini berkahwin dengan nabi untuk hidup bersama-sama nabi. Melalui perkahwinan menjadi satu bukti martabat wanita sudahpun dijulang tinggi pada zaman Rasulullah S.A.W

Pada zaman Nabi SAW wanita dikenali dengan tokoh-tokoh yang boleh kita ambil sebagai ikutan pada zaman sekarang.

Perkongsian di sini tertumpu pada wanita atau islamiknya kaum hawa. Kaum hawa bermulanya dari tulang rusuk nabi Adam. Di mana mereka berdua hidup sama-sama di dalam syurga yang tersergam indah.

” Dan Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (Jika kamu menghampirinya) maka akan jadilah kamu dari orang-orang yang zalim”
Melalui  cakap-cakap orang yang mengatakan Hawa yang menyebabkan Adam keluar dari syurga sungguh sekali tidak benar. Bahkan Allah menghukum kedua-duanya kerana kesalahan mereka berdua yang terpedaya dengan hasutan syaitan.
“Dengan Sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua ( ke dalam larangan ) dengan tipu dayanya . Setelah mereka makan (buah ) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga. Serta tuhan mereka mnyeru mereka : bukankan aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu? Dan aku katakana padamu bahawa syaitan itu dalah musuh yang nyata?”
Saya ingin menekankan tentang bagaimana kaum wanita kebanyakannya mereka tidak pernah berfikir untuk keluar padang dalam medan dakwah dan sebagainya. Dalam isu kepimpinan banyaknya didominasi oleh kaum lelaki. Wanita tidak layak dan sebagainya untuk terlibat sama. Saya lebih suka untuk mengajak mereka-mereka ini untuk mencuba segala sesuatu yang boleh membawa mereka merasakan dunia ini perlukan mereka. Contoh sebagai pemimpin: Ramai wanita yang menolak jawatan sebegini kerana mengatakan mereka ini tidak layak untuk memimpin kaum lelaki. Tetapi tidak sedarkah mereka ini dalam kepimpinan wanita juga berhak untuk bersama-sama mengeluarkan idea atau pendapat yang boleh menguntungkan semua orang.

Saya bagi contoh kisah seorang raja perempuan pada zaman Nabi Sulaiman yang digelar Ratu Saba’ atau nama glamournya Balqis. Balqis jikalau dibuka kitab-kitab israiliyat bermula rekaan nama Balqis . Balqis merupakan seorang raja perempuan yang sungguh besar pemerintahannya.
“Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah berikan kepadanya (serba sedikit ) dari tia-tiap sesuatu (yang diperlukan ) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.” Surah An-naml ayat 23
Ratu Balqis ini sangat berani untuk membuat keputusan demi kerajaanya. Setelah Nabi Sulaiman menghantar surat kepada Ratu Balqis untuk bersemuka. Segala pembesar-pembesar dan pahlawan-pahlawan memberi nasihat untuk berperang sahaja dengan kerajaan Nabi Sulaiman. Ratu Saba’ tidak terus membuat keputusan terburu-buru bahkan memikirkan jalan lain untuk dia menyelamatkan kerajannya maka perdamaianlah yang dipilihnya. Akhirnya keputusan yang dipilihnya itu menjadi satu kebaikan kepadanya dan kerajaannya.

Apa yang diceritakan melalui kisah Ratu Saba’ Balqis ini ada kaitan penuh dengan politik. Di mana keberkaitannya jika ingin memerintah suatu kerajaan mestilah mereka ini tahu akan siasah dalam politik. Saya bukanlah orang yang pandai untuk bercakap tentang isu politik tetapi ini adalah hakikat sebenar mengikut konteks dunia sekarang.

Sebagai individu saya berpendapat politik itu tidak boleh ditinggalkan dalam dunia islam kerana politik sekarang harus dicorakkan dengan islam. Oleh itu saya sangat mengajak kepada semua kaum Wanita untuk ceburi bidang politik supaya pemikiran kita lebih terbuka dengan isu semasa.
“ Dan (Ingatlah) ketika TuhanMu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi “ Surah Al-baqarah ayat 30
Tugas sebagai khalifah bukan tertegak pada kaum adam sahaja. Malah termasuk kaum Hawa. Wanita tidak boleh hanya berada di dapur berdiam diri tanpa mengenal dunia luar. Masalah ini sebenarnya sudah lapuk dek zaman kerana saya yakin wanita sekarang ramai yang lebih berkerjaya tetapi kekurangannya mereka-mereka ini hanya fokus kepada kerja mereka tanpa ambil kisah lansung tentang dunia politik sekarang. Seperti saya katakan sebelum ini politik sangat berkait rapat dengan islam malah menjadi satu anggota. Kerana itu saya meletak perkataan khalifah untuk kita fokuskan kerana manusia tidak lari dari tanggungjwabnya sebagai khalifah. Makna Khalifah itu sendiri bermakna Memakmurkan bumi. Di sini lah kita membuka mata kita merungkai segala kejahilan menjadi kebenaran supaya islam tertegak pada Negara kita. Khulafa’ Ar- Rasyidin bermula dengan khalifah-khalifah nya yang benar.

Zaman dunia sekarang kebanyakannya wanita itu sudah tidak malu untuk tampil kehadapan tetapi kenapa masih ada baki-baki yang belum menimbulkan diri mereka dihadapan khalayak ramai dengan sikap kepimpinan dan idea yang bernas jika mereka ( lelaki ) melihat mereka akan kagum dengan wanita.

Saya juga melihat apakah punca wanita-wanita ini kurang untuk bersuara dalam isu-isu terkini mungkin mereka kurangnya pembacaan. Hanya suka berpinda pada berita-berita gossip. Selain itu terdapat wanita-wanita sebelum adanya rumah tangga , mereka sangat aktif dengan perbincangan isu-isu tetapi apabila perkahwinan menjadi halangan mereka lansung tiada ambil kisah tentang hal ini.

“ Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka ( dengan firmanNya ) : Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu ( adalah keturunan ) dari setengah yang lain , maka orang-orang yang berhijrah  (kerana menyelamatkan ugamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan ) kerana menjalankan ugamaku, dan yang berperang (untuk pertahankan Islam), dan yang terbunuh  (gugur syahid dalam perang Sabil) Sesungguhnya aku akan hapuskan kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai , pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualan pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh ) surah Ali-Imran ayat 195
Sahutlah seruan Allahurobbi kerana di setiap perlakuan kita akan dinilai olehnya. Ambil segala peluang yang ada sebagai jalan untuk kita dekat kepada Nya.
Alhamdulillah sahabat-sahabat wanita @ akhowat di Mu’tah sudah pun membuka ruang diskusi sesama akhowat untuk membincangkan isu-isu semasa. Syabas saya ucapkan kepad individu tersebut dan yang terbaru ada seorang lagi individu yang ingin mencetuskan medan perterjemahan bagi kitab-kitab yang ada di Mu’tah untuk diterjemahkan kedalam bahasa melayu. Dengan inisiatif ini lebih banyak membantu pelajar-pelajar di sini untuk tidak membuang waktu kosong begitu sahaja tanpa ada usaha untuk menjadi lebih baik dari itu.


Wallahu’alam.
Hanya medan perbincangan . Sesiapa sahaja boleh menolak pendapat atau komen cara penulisan saya . Insan yang lemah.
 

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan